Friday, 4 May 2018

PROJEK TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA
UPM (SKP 2203-KUMPULAN 1)
DR.  HJ AHMAD NASIR BIN MOHD YUSOFF
TAMADUN MELAYU- ADAT PERKAHWINAN KAUM MELAYU

1)      ZUZAFINA BINTI ZULKIFLE (193216)
2)      FATIN NURDIYANAH BINTI ASRIN (193217)
3)      NURUL AMIRA SYAFIQA BINTI MOHAMAD SAFINGE (193222)
4)      NOOR EIZATIE BINTI MUHAMAD (193170)
5)      DHIVIARUBINI A/P SUPPIAH (193220)

PENGENALAN
Tamadun Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang secara luasnya digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu, tertumpu kepada suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan perlbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia, Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai tamadun wilayah ini ialah Bahasa Melayu, yang menjadi Bahasa perhubungan luas (lingua franca) di seluruh kawasan ini, dan agama Islam yang menjadi asas kepada pembentukan tamadun Melayu.
KONSEP MELAYU
Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan Bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetic yang sama dan yang berasal dari alam Melayu.
Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu.
Bahasa Melayu adalah Bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu. Ia merangkumi subkeluarga seperti Bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Selepas kedatangan Islam Bahasa Melayu menjadi salah satu Bahasa terpenting di dunia.
Perkahwinan ialah hubungan terikat antara dua orang yang diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil dan/atau diikat oleh kepercayaan agama peserta-peserta. Sifat duaan ini, iaitu kontrak undang-undang terikat serta janji kesusilaan, menyebabkan perkahwinan amat sukar disifatkan.
Dalam satu bentuk atau lain, perkahwinan didapati di hampir setiap masyarakat. Rekod-rekod tertua yang merujuk kepada perkahwinan mengatakan bahawa perkahwinan adalah satu adat resam yang mantap. Walaupun ahli-ahli antropologi telah mencuba mengesan asal perkahwinan, umpamanya hipotesis persetubuhan primitif secara rambang, mereka telah gagal memperoleh sebarang bukti.

ADAT PERKAHWINAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU

Merisik atau Meninjau
Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki khususnya ibu bapa. Sebaik sahaja ibu bapa memutuskan bahawa anak lelaki sudah cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencari pasangan yang sesuai untuk anaknya. Calon biasanya dipilih berdasarkan pendidikan, agama, kecantikan, agama dan hubungan kekeluargaan. Bagi pihak lelaki, ibu bapa akan pilih pengantin perempuan dengan persetujuan anak lelakinya atau sebaliknya. Namun, kini sebilangan rakyat Melayu memilih pasangan mereka atas dasar suka sama suka.
Menurut adat resam masyarakat Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas memilih pengantin perempuan untuk anak lelaki dengan teliti. Ibu bapa akan memilih beberapa orang anak dara yang sesuai, selepas itu mereka akan memulakan penyiasatan dengan bertanya dengan kawan-kawan dan saudara-saudara anak dara yang telah terpilih.  Dalam pemilihan mereka, ibu bapa anak lelaki memerlukan bahawa bukan sahaja sifat dan tingkah laku anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka memegang teguh kepada peribahasa, "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.
Antara sifat-sifat yang diambil kira pada pengantin perempuan pada zaman dahulu ialah memasak dan menjahit. Namun begitu, pembacaan al-Quran yang fasih dan merdu merupakan sifat yang paling disukai oleh ibu bapa pihak lelaki.
Selepas membuat keputusan berdasarkan maklumat diperolehi tentang bakal pengantin yang mahu dikahwinkan dengan anak lelakinya, ibu bapa pihak lelaki akan menghantar sekelompok saudara atau kawan mereka untuk berkunjung ke rumah anak dara berkenaan. Kebiasaannya, kunjugan itu dilakukan secara mengejut tanpa pengetahuan pihak perempuan. Kunjungan tanpa persediaan yang dilakukan ini mempunyai makna yang khusus. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu percaya bahawa jika kita berkunjung ke rumah pihak perempuan ketika dia sedang mandi atau mencuci, ia merupakan petanda yang bertuah untuk masa hadapan pasangan ini. Sebaliknya, jika mereka berkunjung semasa gadis sedang memasak di dapur, ia merupakan petanda bahawa perkahwinan pasangan ini tidak akan bahagia. Selain itu, jika perjalanan ke rumah gadis lambat atau terhalang, ia juga merupakan petanda kurang baik untuk perkahwinan ini. Bagaimanapun, semua kepercayaan ini tidak lagi diendahkan oleh masyarakat Melayu sekarang. Selepas ia melepasi proses kunjungan, ibu bapa pihak lelaki akan mengadakan majlis antara kedua-dua pihak untuk menentukan tarikh dan hari yang baik untuk bertunang.
  

Meminang atau bertunang
Ibu bapa bakal pengantin lelaki akan menugaskan sebilangan orang tua yang rapat dengan ibu bapa anak perempuan untuk mendapatkan persetujuan. Ibu bapa pihak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas alasan bahawa mereka ingin berunding dengan saudara mara. Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lambat selama seminggu. Ibu bapa pihak perempuan akan memberi keputusan bahawa mereka menerima pinangan melalui orang pertengahan. Selepas itu, mereka akan berbincang tentang syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara perkahwinan dan sebagainya untuk diselesaikan. Inilah sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.
            Pada zaman dahulu, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika upacara perkawinan ditangguhkan pada masa yang lama. Tanda itu biasanya dalam bentuk cincin atau berlian dengan kehendak hati atau kemampuan kewangan keluarga pihak lelaki. Tanda akan diiringi dengan hadiah-hadiah kepada pengantin perempuan seperti kain, gula-gula, buah-buahan dan sebagainya.
            Penghantaran tanda akan disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua belah keluarga. Sesetengah masyarakat Melayu akan menghantar cincin dan hadiah dengan upacara perarakan ke rumah pihak perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah menandakan bahawa kedua-dua belah pihak telah bersetuju dengan syarat-syarat perkahwinan yang dipersetujui. Namun begitu, jika pihak lelaki gagal untuk mengahwini gadis tersebut, cincin dan hadiah yang telah diberi tidak boleh dituntut balik. Manakala jika perempuan itu gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, semua cincin dan hadiah harus dikembalikan kepada pihak lelaki sekali ganda dari bilangan dan nilainya kecuali atas kematiannya.
Antara cara-cara pertunangan yang lain selain dari cara diatas yang merupakan adat masyarakat Melayu ialah pertunangan antara dua buah keluarga yang rapat tanpa cincin pertunangan atau perjanjian bertulis ketika anak mereka masih bayi atau kanak-kanak.



Upacara Hantaran
Dalam adat atau majlis pertunangan mahupun perkahwinan Melayu, membawa serta membalas barang hantaran adalah satu kemestian atau kewajipan antara kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Selain memenuhi adat tradisi dan syarat untuk mengikat dua hati yang ingin disatukan, berbalas-balas dulang hantaran antara kedua-dua pihak itu perhubungan yang terjalin.
Barang hantaran adalah hadiah yang berupa wang atau mas kahwin dan berasanya diiringi barang lain seperti manisan, buah-buahan dan pakaian. Lebih unik atau menarik adalah setiap barang hantaran itu akan digubah cantik dan dihias indah. Sebenarnya, tiada had dalam penetapan jumlah barang hantaran, tetapi kebiasannya pihak perempuan akan menambah dua dulang lebih daripada pihak lelaki. Misalnya, jika pihak lelaki membawa tujuh dulang maka pihak perempuan mestilah membalasnya dengan sembilan dulang.


Berinai besar
Kedua-dua pengantin memakai pakaian pengantin. Pengantin lelaki akan ke rumah pengantin perempuan dengan iringan perarakan kompang. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara berinai dan pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki. Istiadat ini dijalankan pada malam sebelum majlis langsung atau selepas majlis akad nikah untuk para jemputan khas daripada kedua-dua belah pihak pengantin. Pada majlis tersebut, pengantin lelaki akan diinaikan terlebih dahulu di atas pelamin diikuti pengantin perempuan. Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Kemudian dilakukan dengan bertih, diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki.


Upacara akad nikah
Upacara akad nikah merupakan kemuncak kepada kesahihan sesebuah ikatan perkahwinan dalam ajaran Islam. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, upacara akad nikah ini juga boleh diwakilkan kepada tok kadi.
Majlis ini kebiasanya akan dijalankan sehari sebelum majlis bersanding dilangsungkan. Lazimnya, sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya, pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah–tengah majlis. Tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggungjawab suami, isteri dan lain-lain.
Akhirnya, doa selamat dibaca sejurus selesai akad nikah sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat di ijab kabul. Selepas upacara akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara pembatalan air sembahyang. Suami (pengantin lelaki) akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang berhias indah sambil keduanya bersalam.


Hari Persandingan
Pada hari persandingan, kedua-dua pengantin akan memakai baju pengantin. Mereka digelar ‘Raja Sehari’. Mereka diandam dan dihias oleh Mak Andam yang diupah. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan dari pasukan kompang dan pancak silat. Kebiasaannya pengantin lelaki berjalan mulai dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama sekiranya ia belum dihantar terlebih dahulu. Kedua-dua pengantin kebiasaannya akan bersanding di atas pelamin yang dihiasi indah. Jamuan makan diadakan secara besar-besaran untuk meraikan tetamu. Majlis persandingan dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan acara menepung tawar. Upacara ini dimulakan oleh ibu bapa kedua belah pihak dan diikuti oleh saudara mara. Acara ini bertujuan untuk memberi restu kepada kedua pasangan pengantin yang diraikan. Di sesetengah tempat seperti di negeri Johor, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan sebelum bertemu dengan pasangan di hari persandingan yang dikatakan sebagai tol.


Jemput Menantu
Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ biasanya diadakan di rumah pengantin lelaki. Majlis ini diadakan untuk pengantin perempuan yang dijemput ke rumah pengantin lelaki beserta pengiring-pengiringnya. Rombongan pengantin perempuan tidak akan ke rumah bapa mertuanya selagi pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya tidak datang menjemput. Kedatangan pengantin lelaki digelar sebagai ‘balik minum air’. Setelah pengantin lelaki pulang ke rumahnya, pengantin lelaki akan tidur di rumah isterinya pula. Majlis ini kebiasaannya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan mereka.


KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, adat perkahwinan dalam kalangan kaum Melayu merupakan salah satu adat yang sangat penting dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Hal ini kerana adat perkahwinan melibatkan beberapa proses seperti adat merisik, adat meminang, adat menghantar belanja dan akad nikah. Setiap adat tersebut sangat penting dan diwarisi sejak zaman nenek moyang masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi.  Selain itu, terdapat juga pantang larang yang perlu diberikan perhatian yang penuh apabila sesuatu upacara dijalankan.
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu juga terdapat adat pantang larang yang ditujukan khas buat bakal pengantin baru. Antara pantang larang ialah bakal pengantin perempuan dilarang keluar bersama pasangannya dalam tempoh 40 hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Pantang larang ini bagi mengelakkan tomahan daripada masyarakat sekeliling dan untuk mengawal nafsu bakal pengantin tersebut. Selain itu, bakal pengantin juga di larang tidur di rumah orang lain bagi mengelakkan daripada terkena sihir dan sebagainya.  Hal ini menunjukkan masyarakat melayu kaya dengan adat dan juga pantang larang.
Namun begitu, arus pemodenan yang pesat membangun dan juga pengaruh dari budaya Barat menyebabkan adat perkahwinan ini semakin dipandang remeh oleh golongan muda pada masa kini. Golongan muda sekarang lebih mengutamakan majlis perkahwinan moden dan besar-besaran. Hal ini menunjukkan masyarakat Melayu sekarang tidak lagi mengamalkan adat istiadat ini secara keseluruhan dan menyebabkan adat ini semakin dilupuskan. Pengaruh dari budaya luar seperti budaya Barat  juga menyebabkan masyarakat kini terlalu obses ingin mengadakan majlis perkahwinan mengikut cara Barat seperti mengadakan majlis perkahwinan secara besar – besaran di hotel dan juga di dewan terkenal. Mereka percaya bahawa dengan cara ini mereka dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja untuk menjayakan majlis tersebut. Golongan generasi muda juga kurang didedahkan tentang adat perkahwinan masyarakat Melayu menyebabkan mereka berpendapat adat dalam upacara perkahwinan sekarang tidak perlu mengikut adat perkahwinan terdahulu dan juga dianggap kuno.
Tuntasnya, adat perkahwinan bagi masyarakat Melayu mempunyai keunikan dan kemeriahannya yang  tersendiri. Tradisi perkahwinan Melayu ini haruslah dipelihara dan diamalkan selagi ia tidak melanggar hukum syarak.  Ini bertujuan supaya generasi akan datang tidak akan lupa dengan adat dan asal usul kaum sendiri.  Adat perkahwinan ini banyak membantu dari segi aspek-aspek kehidupan individu, bangsa dan negara berpandukan ajaran agama Islam.

REFLEKSI DIRI
Setelah menjalankan kajian tentang adat perkahwinan dalam tamadun Melayu, kami dapat mengetahui banyak perkara dan pengetahuan kami tentang adat perkahwinan masyarakat Melayu semakin meluas. Adat perkahwinan dalam kalangan kaum Melayu merupakan salah satu adat yang sangat penting dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Hal ini kerana adat perkahwinan melibatkan beberapa proses seperti adat merisikadat meminangadat menghantar belanja dan akad nikah. Setiap adat tersebut sangat penting dan diwarisi sejak zaman nenek moyang masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi. Selain itu, terdapat juga pantang larang yang perlu diberikan perhatian yang penuh apabila sesuatu upacara dijalankan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu kaya dengan adat dan juga pantang larang.

Kami sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan jutaan terima kasih diberikan kepada pensyarah kerana memberi tunjuk ajar dalam melaksanakan projek TITAS dengan jayanya. Projek TITAS seperti ini wajar dikekalkan supaya pelajar akan datang dapat menguasai pengetahuan tentang tamadun yang terdapat di Asia ini.

GAMBAR SEPANJANG KAJIAN







https://youtu.be/lPbnBQ2KAus



SOALAN TEMUBUAL:
1.      Bagaimanakah adat perkahwinan masyarakat Melayu dilaksanakan?
2.      Mengapakah masyarakat Melayu pada masa kini sering meminggirkan adat?
3.      Beri cadangan anda bagi mengekalkan adat perkahwinan kaum Melayu kepada generasi kini dan akan datang.
BIBLIOGRAFI
Muhammad Azizan Sabjan. (2009), Tamadun Islam dan Tamadun Asia
Shah alam: MacGraw- Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Osman Bakar & Azizan Baharuddin, (2009), Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Universiti Malaya